perbezaan cara basuh kencing bayi...

Perbezaan ini, antaranya ialah tentang kandungan kencing kedua-dua bayi itu sebelum umur mereka mencapai dua tahun yang hanya bergantung kepada susu ibu. Perhatikan satu hadith saw yang yang bermaksud: Umm al-Qais menceritakan bayi lelakinya yang belum mencapai dua tahun dibawa kepada Rasulullah saw lalu bayi itu kencing di atas pakaian baginda; baginda meminta air lalu merenjis pakaiannya yang terkena kencing tetapi tidak membasuhnya, (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud).
Demikian pula diceritakan oleh Umm al-Fadl bahawa al-Husain bin Ali kencing di atas riba Rasulullah saw lalu aku bertanya, lalu dijawab oleh baginda air kencing kanak-kanak lelaki hanya perlu direnjiskan air dan air kencing kanak-kanak perempuan dibasuh (riwayat Ahmad).
Kaedah menyucikan kencing kedua-dua bayi lelaki dan perempuan yang berbeza itu tentulah ketentuan syariah yang ada hikmahnya. Dalam fiqh, kencing kanak-kanak lelaki dianggap najis ringan atau mukhaffafah, berbeza dengan air kencing perempuan. Dua orang saintis Muslim dari Universiti Duhuk Iraq yang bernama Asil Muhamamd Ali dan dan Ahmad Muhammad Saleh cuba menyelami kemungkinan hikmah yang ada di sebalik dua hukum yang berbeza itu.
Mereka mengkaji seramai 35 bayi lelaki dan 38 bayi perempuan. Air kencing mereka dianalisis khususnya analisis yang berkaitan dengan kandungan bakteria. Kanak-kanak itu dikelaskan kepada umur masing-masingnya sebulan, dua bulan, tiga bulan dan seterusnya dengan anggapan semakin muda usianya mereka semakin bergantung kepada susuan ibu sebagai makanan mereka. Mereka menumpu perhatian kepada bacteria escherichia coli. Keputusan yang diperoleh ialah seperti yang berikut:
Bagi usia 30 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 95% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki. Bagi usia 60 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 91% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki. Bagi usia 90 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 93% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki. Bagi usia melebihi 90 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 69% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki.
Hasil penyelidikan ini menunjukkan bahawa kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan semakin berkurangan apabila umur meningkat manakala kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki semakin meningkat dengan peningkatan umur.
Menurut kedua-dua pengkaji Muslim itu, hakikat saintifik yang terlindung di sebalik syariat Islam berkaitan dengan air kencing bayi menunjukkan syariat Ilahi sangat sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Sebagai Muslim, tentulah kita yakin bahawa Pencipta yang mencipta manusia lebih mengetahui tentang fitrah kejadiannya lalu syariat diturunkan berdasar fitrah itu.
Lelaki dan wanita daripada anak Adam as berbeza sesuai dengan fitrah kejadian masing-masing. Hal ini ditegaskan dalam al-Qur’an apabila ibu Maryam yang menyangka melahirkan anak lelaki tetapi bayi perempuan, yakni Maryam yang dilahirkan.
“Tatkala ia melahirkannya lalu ia berkata Tuhan-ku, aku telah melahirkan bayi perempuan, sedangkan Allah lebih mengetahui bayi yang dilahirkan itu, dan bukanlah sama lelaki dengan perempuan, dan sesungguhnya aku namakannya Maryam…” (Ali-`Imran, 36).
Lelaki dan perempuan mempunyai keistimewaan masing-masing. Masing-masing mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki yang lainnya, ibarat tangan kiri dan tangan kanan, seperti kaki kiri dan kaki kanan. Kedua-duanya tidak sama tetapi sepadan yang diperlukan kedua-duanya untuk melangkah ke hadapan. Namun dari segi amanah dan tanggungjawab serta perintah mencari ilmu kedua-duanya diberikan hak yang sama oleh Islam sejak dahulu.
0 Responses